Pembentangan Kertas – Langkawi’s Regional Course on UGGp (2015-2025)
Persidangan saintifik 11th International Conference on UNESCO Global Geoparks dimulakan dengan siri pembentangan kertas kerja yang memperlihatkan kepelbagaian sumbangan dan inisiatif dalam rangka kerja geopark global.
Dalam sesi pembentangan ini, kami wakil Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) berkongsi pengalaman menganjurkan Regional Course on UNESCO Global Geoparks (2015–2025) yang telah berjaya melatih lebih 650 peserta dari lebih 15 negara, khususnya dari rantau Asia Pasifik. Program ini dianggap sebagai sumbangan utama Langkawi kepada komuniti global geopark dan telah diiktiraf sebagai satu ‘best practice model’ dalam konteks pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu geopark. Kursus ini memberi tumpuan kepada latihan teknikal, pengurusan geopark, pembangunan komuniti, dan strategi komunikasi warisan bumi, sekaligus melahirkan ramai pengamal dan pentadbir geopark baharu di rantau ini. Pembentangan ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen Langkawi dalam memperkukuh jaringan serantau, tetapi juga menegaskan peranan Malaysia sebagai hab latihan dan pusat kecemerlangan geopark di Asia Pasifik, selaras dengan aspirasi UNESCO dalam memperkukuh pembangunan lestari berasaskan warisan geologi.
Sebelum pembentangan kami, sesi pembentangan oleh Dr. Guy Martini (Perancis) yang memperkenalkan penerbitan terbaharu Global Geoparks Network (GGN) berjudul “Geoparks – The Traveller’s Notebook”, sebuah karya unik yang menghimpunkan panduan dan inspirasi perjalanan ke 229 UNESCO Global Geoparks di seluruh dunia. Beliau menekankan bahawa buku ini bukan sekadar panduan pelancong, tetapi juga satu bentuk dokumentasi global yang menonjolkan kepelbagaian geowarisan dan budaya manusia di setiap geopark. Seterusnya, Dr. John Calder (Kanada) menyampaikan kertas bertajuk “Geoparks are not for geologists, but for travellers who wish to enjoy the uniqueness of geological landscapes”, yang menegaskan kepentingan interpretasi geologi dalam menjadikan warisan bumi dapat difahami dan dihargai oleh khalayak umum, bukan hanya ahli sains. Pembentangan beliau menyeru agar geopark memperkukuh aspek komunikasi dan interpretasi bagi menjadikan pengalaman pelancongan geologi lebih inklusif dan bermakna.




