World Tourism Day (WTD)
World Tourism Day (WTD) turut diraikan oleh Global Geoparks Network (GGN) dan Asia Pacific Geoparks Network (APGN) sebagai satu platform global untuk mempromosikan pelancongan lestari berasaskan warisan bumi. Sambutan ini menyeru masyarakat dunia untuk menjelajah 229 UNESCO Global Geoparks (UGGp) yang tersebar di 50 buah negara, merasai keunikan landskap geologi, biologi dan budaya yang menjadi teras kepada setiap geopark. Dalam konteks Malaysia, sambutan WTD amat bermakna kerana negara kini mempunyai dua geopark yang telah diiktiraf UNESCO — Langkawi dan Kinabalu — insya’Allah dua lagi geopark baharu, Lenggong dan Delta Sarawak, dijangka menerima pengiktirafan rasmi menjelang awal tahun 2026. Pencapaian ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang kukuh sebagai antara peneraju pelancongan geopark di rantau Asia Pasifik, dengan tumpuan kepada konsep kelestarian, pendidikan, dan pemuliharaan warisan semula jadi.
Di dalan UNESCO Global Geopark (UGGp), kami memperkenalkan sejenis pelancongan Istimewa dikenali ‘geotourism’, iaitu bentuk pelancongan istimewa yang memperkenalkan pengunjung kepada warisan bumi secara terintegrasi, meliputi elemen geologi, biologi dan budaya tempatan. Melalui geotourism, pelancong bukan sahaja menikmati keindahan alam tabii, tetapi juga memahami proses pembentukan bumi, kepelbagaian ekosistem serta nilai budaya masyarakat setempat yang hidup seiring dengan alam. Pendekatan ini menjadikan setiap kunjungan ke geopark sebagai pengalaman pendidikan yang mendalam, memperkukuh kesedaran terhadap pemuliharaan alam dan menggalakkan tanggungjawab bersama terhadap kelestarian planet ini.
Dengan semangat World Tourism Day, UNESCO Global Geoparks terus membuktikan bahawa pelancongan berasaskan sumber warisan tabii boleh menjadi kuasa positif untuk memupuk dan membina masa depan yang lebih lestari, berilmu, serta bermasyarakat.

