Sejarah Wilayah Bintulu
Ini tahun ke-3 saya menghadiri Majlis Konvokesyen di UPM Sarawak. Setiap kali ke sana, saya tidak dapat mengenepikan cetusan fikiran setiap kali melihat lapisan batuan sedimen di bandar Bintulu dan sepanjang potongan jalan. Saya sudah kenal batuan ini melalui pembacaan mengenai ‘taburan batuan di Sarawak’ dan sedikit sebanyak evolusi geologinya. Perbukitan di wilayah ini terdiri daripada batuan sedimen, terbentuk di lautan cetek berhampiran pantai semasa usia Oligosen – Miosen (iaitu sekitar 25 hingga 15 juta tahun lampau), kemudiannya terangkat dan termampat menbentuk jaluran perbukitan. Ahli geologi menamakan batuan ini ‘Formasi Nyalau’ sebagai rujukan kajian saintifiknya. Proses hakisan berterusan membentuk rupabumi sekarang, dan potongan cerun mendedahkan jujukan batuan yang kelihatan kuih lapis. Banyak yang boleh saya perkatakan mengenai ‘cerita geologi’, tapi mungkin pada kesempatan akan datang.
Mungkin apa yang penting untuk komuniti di Bintulu ambil perhatian ialah:
- Rupabumi wilayah Bintulu dicirikan oleh kehadiran siri jaluran perbukitan rendah (ketinggian mencapai 200m, di antaranya terbentuklah lembah sungai dan anak-anak sungai). Inilah cirian unik Bintulu, berbeza dengan wilayah lain – inilah identiti landskap Bintulu;
- Batuan dasar (tapak) wilayah Bintulu ialah batuan/tanah terluluhawa Formasi Nyalau yang terbentuk pada usia 25-15 juta tahun. Maka ‘sejarah’ bumi Bintulu mula terbentuk pada 25 juta tahun, berterusan sehingga berlaku pengangkatan menjadi daratan, dan kemudiannya terhakis membentuk ‘landskap budaya’, tempat komuniti Bintulu bertamadun. Ini adalah ‘warisan sejarah tempatan’ yang perlu dihargai;
- Sebahagian daripada singkapan boleh dijadikan tugu/ monumen dan bukti sejarah yang perlu dipulihara, dan keunikannya sesuai dijadikan tapak pendidikan dan pelancongan.
Inilah maksud ‘Geowarisan dan Geopelancongan’ yang kami kembangkan sebagai sumber alami baharu untuk kesejahteraan masyarakat.


























