Mesyuarat JK Saintifik APGN Symposium & JK Penyelarasan LUGGp
Langkawi, 18 November 2025 – Lawatan kerja Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim ke Langkawi selaku CEO-Geopark and Geotourism Creative Solutions (GGCS) pada kali ini memperlihatkan komitmen beliau yang juga sebagai Penasihat Langkawi UGGp dalam menghadiri dua sesi mesyuarat penting di Bangunan LADA – iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Saintifik APGN Symposium 2026, dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan LUGGp.
Dalam mesyuarat pertama melibatkan JK Saintifik penganjuran APGN Symposium 2026, tumpuan diberikan kepada penyusunan terperinci program harian bagi persidangan yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 11 September 2026. Penambahbaikan turut dibuat terhadap tema pembentangan saintifik dan sub-tema saintifik simposium bagi memastikan pengisian yang ditawarkan lebih tersusun dan padat, sekaligus memudahkan penyediaan edaran (circular pertama) maklumat rasmi yang lebih mantap dan berkualiti. Prof. Dr. Norhayati Ahmad iaitu selaku Pengerusi Pusat Penyelidikan Geotaman-UKM turut terlibat sama dalam mesyuarat pengubalan ini.
Seterusnya, Mesyuarat JK Penyelarasan LUGGp kali pertama bagi tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Dato’ Seri Iskandar, dan ahlinya terdiri daripada semua pemimpin pihak berkepentingan utama, agensi Kerajaan, swasta dan komuniti di Langkawi. Pelbagai kertas kerja dibentangkan oleh urusetia, merangkumi laporan aktiviti tahun 2025, perancangan projek untuk tahun 2026, serta perkembangan terkini penganjuran APGN Symposium. Pembentangan ini menjadi asas penting bagi memastikan semua pihak mendapat gambaran jelas tentang hala tuju dan kemajuan program geopark di LUGGp.
Dalam sesi tersebut, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim turut menegaskan bahawa Langkawi UGGp bukan milik satu organisasi semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta yang berkepentingan di Langkawi. Setiap pihak mempunyai ruang dan keupayaan untuk melaksanakan projek atau aktiviti geopark mereka sendiri. Pendekatan inklusif ini bukan sahaja memperluas penyertaan, malah memperkukuhkan rasa pemilikan kolektif terhadap pembangunan geopark.
Beliau menekankan juga bahawa JK Penyelarasan harus berfungsi sebagai platform penyelaras dan pemangkin kepada tindakan multi-agensi. Peranan utama JK ini adalah memastikan semua inisiatif bergerak seiring dalam mengaktifkan visi dan aspirasi jangka panjang Langkawi UNESCO Global Geopark. Dengan kerjasama menyeluruh ini, LUGGp mampu terus berkembang sebagai model geopark yang cemerlang dan inklusif di peringkat global.







