Penglibatan Geopark and Geotourism Creative Solutions (GGCS) di Persidangan Antarabangsa Kütralkura UNESCO Global Geopark, Chile
Temuco, Chile – 8 hingga 12 September 2025
Geopark and Geotourism Creative Solutions Sdn. Bhd. (GGCS) telah menyertai 11th International Conference on UNESCO Global Geoparks (GGN2025) yang berlangsung di Wilayah Araucanía, Chile. Persidangan berprestij ini dianjurkan oleh Kütralkura UNESCO Global Geopark dan menghimpunkan wakil daripada lebih 200 Geopark di seluruh dunia bagi berkongsi ilmu, inovasi dan amalan terbaik dalam pemeliharaan warisan bumi.
Persidangan bertemakan “From Ancestral Knowledge towards Future Geoparks: Technologies and Digital Innovation for Sustainable Development” ini menekankan integrasi antara pengetahuan tradisional komuniti setempat dan inovasi teknologi dalam memajukan pembangunan lestari Geopark sejajar dengan agenda UNESCO dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Penglibatan GGCS di Persidangan Antarabangsa
GGCS yang diwakili oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang turut membentangkan kertas pembentangan bertajuk “Langkawi’s Regional Course on Managing Global Geoparks: Contribution to the Capacity Building in the Asia Pacific Region”
Pembentangan ini mengetengahkan peranan Malaysia, khususnya Langkawi UNESCO Global Geopark, dalam memperkukuh kapasiti dan jaringan latihan serantau bagi membangunkan keupayaan pengurusan geopark di rantau Asia Pasifik.
Melalui penyertaan ini, GGCS memperkukuh peranan sebagai syarikat perundingan yang menawarkan perkhidmatan penasihat profesional khususnya peneraju pembangunan geopelancongan dan pengurusan geopark yang berdaya saing di peringkat global. Penglibatan ini juga menonjolkan keupayaan syarikat swasta di Malaysia dalam membangunkan model geopark yang menyeluruh — meliputi aspek pemuliharaan warisan geologi, pembangunan komuniti setempat, serta pembentukan ekonomi hijau berasaskan sumber geowarisan.
Kepentingan Penglibatan GGCS
Penglibatan GGCS di persidangan geopark di peringkat antarabangsa ini membawa beberapa kepentingan strategik bagi pembangunan geopark di Malaysia:
Perkongsian Pengetahuan Global – Mengukuhkan kefahaman tentang amalan terbaik dalam pengurusan, pemuliharaan, dan pembangunan geopark melalui pembelajaran daripada pakar antarabangsa.
Jaringan Profesional Antarabangsa – Memperkukuh hubungan Malaysia dengan UNESCO Global Geoparks Network (GGN) dan Asia Pacific Geoparks Network (APGN), sekaligus membuka ruang kerjasama baru dalam penyelidikan dan latihan di wilayah geopark seluruh dunia.
Memartabatkan Model Malaysia – Menonjolkan kejayaan Langkawi UNESCO Global Geopark sebagai model pengurusan bersifat lestari yang menggabungkan aspek warisan alami, pemuliharaan, kesejahteraan komuniti dan pendidikan awam.
Pembangunan Wilayah Geopark Negara – Menyokong pembangunan geopark lain di Malaysia seperti Lenggong dan Delta Sarawak dalam proses ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
Persidangan ini turut menampilkan pelbagai sesi perbincangan, bengkel, dan pameran yang memfokuskan kepada inovasi digital, pemuliharaan geowarisan, dan pembangunan komuniti melalui pendekatan geopelancongan.
Penyertaan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo bagi pihak GGCS di 11th International Conference on UNESCO Global Geoparks menegaskan komitmen Malaysia dalam meneruskan usaha memajukan konsep geopark sebagai wadah pembangunan lestari yang berpaksikan ilmu pengetahuan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam dan pendidikan awam. Melalui jaringan antarabangsa ini, GGCS akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem geopark dan geopelancongan negara.






















































