Geopark Jogja National
23 Januari 2026 – Kami sempat di bawa untuk melihat keistimewaan Geopark Jogja dari puncak Gunung Merapi hingga ke Gumuk Pasir di Parang Teritis bagi menentukan ‘nilai geowarisan berkepentingan antarabangsa’. Badan pengurusan Geopark Jogja berhasrat untuk mengangkat geopark ini untuk menjadi UNESCO Global Geopark (UGGp), tetapi masih belum tuntas untuk memastikan nilai istimewa ini. Ahli geologis yang menjelaskan kepada kami merasakan, Gunung Merapi itu sendiri, terutama kelakuan letusannya yang dikenali sebagai ‘Merapi type’ (aspek volkanologi) sudah cukup kuat untuk menjelaskan nilai unggulnya.
Ada beberapa isu asas yang perlu diberikan perhatian untuk menganjurkan Geopark Jogja sebagai calon UGGp, antaranya:
- Merapi dikongsi oleh beberapa provinsi, dan sekitar satu per tiga terletak di wilayah Jogja;
- Geopark ini terletak di kotaraya Jogja dengan jutaan penduduknya (atau geopark urban); dan
- Sempadannya berjiran dengan Gunung Sewu UGGp.
Saya melihatnya daripada perspektif yang berbeza, dan lebih dekat kepada ‘falsafah geopark’ iaitu menghargai warisan alam, mensejahterakan masyarakat. Gunung Merapi lebih dikenali sebagai fenomena alam (bencana geologi) daripada perspektif ‘bencana, bahaya dan rahmatnya kepada penduduk di Jogja’. Ketamadunan, kepercayaan dan kehidupan masyarakat di wilayah Jogja terikat dengan Gunung Merapi, ‘ia memberi, ia mengambil semula’ sehingga keseluruhan falsafah hidup pemerintahan dan penduduk Jogja terikat dengan ‘paksi kepercayaan’ dari puncak Merapi ke Parang Teritis.
Bagi saya, nilai warisan unggul Geopark Jogja berkaitan dengan ‘letusan volkano’ berkala (terutama berkaitan bencana geologi) dan bukti letusan ini sebagai ‘geosite’ yang perlu diberikan pulihara, diingati dan dimanfaatkan, termasuklah diwisatakan (dijadikan destinasi pelancongan) secara lestari.












