Pada zaman Tersier (65 hingga sekitar 5 juta tahun lampau), wilayah Kuching berada di sekitaran dataran rendah dan mengalami pengendapan daratan (fluvial hingga delta) yang aktif. Pengendapan pasir dan kelikir berlaku secara meluas membentuk formasi batu pasir berpelapisan tebal hingga masif. Pada masa yang sama, bukaan laut China Selatan hampir sempurna, perlanggaran blok Laut China Selatan dan SW Borneo (membentuk Sutura Sarawak) hampir lengkap dan batuan igneus Tersier merejah dan mengangkat batuan lebih tua dan batu pasir di wilayah ini.
Batu pasir membentuk landskap pergunungan seperti lembangan melingkar Bungo, Gunung Santubong dan plateau batu pasir Bako. Hakisan hujan dan hakisan pantai mengukir bentuk perbukitan, lembangan, gunung dan bukit terasing, penara, pentas abrasi dan tunggul laut seperti kelihatan sekarang.
———————
*Pengendapan batu pasir Kayan dan Plateau adalah peristiwa kuno, yang berlaku secara berulangan, dan kini boleh dibandingkan dengan pengendapan aluvium (sekitar fluvial dan delta) yang membentuk Delta Sarawak sekarang