Seperti Alexandria terletak di delta Sg Nile, Kuching terletak di delta Sg Sarawak. Nama pilihan untuk geopark ialah Delta Sarawak – tentunya ada keistimewaan tersendiri. Delta ialah ‘proses geologi’ paling aktif di permukaan bumi – sedimen angkutan sungai diendapkan di muara sungai, sementara paras lautan/ ombak/ pasang surut mengawal jenis dan taburan pengendapan. Hampir 30% permukaan wilayah geopark terdiri daripada endapan delta.
Aluvium Tua ialah endapan teres sepanjang alur sungai lama, endapan berlaku sejak usia Pleistosen (sekitar 5 juta tahun lampau) – kebanyakan terdiri daripada endapan kerikil, kerikil berpasir dan pasir kasar. Banyak serpihan kayu di dalamnya. Kerikil dalam lapisan sedimen ini mewakili kepelbagaian batuan di mana Sg. Sarawak mengalir.
Endapan delta ialah endapan termuda, bermula pada zaman Holosen (sekitar 2 juta tahun lampau), berterusan hingga sekarang. Delta yang dipengaruhi sedimen sungai akan terus berkembang, maju beberapa meter ke hadapan setiap tahun. Inilah kawasan dataran rendah yang subur, sesuai untuk pertempatan dan pertanian.
———————
*Geotapak yang mewakili endapan delta boleh diwakili oleh endapan permatang pasir, kawasan dataran lumpur, dan pengendapan tanah gambut. Pengetahuan proses pembentukan ‘delta’ perlu dirakyatkan bagi membolehkan mereka menghargai perkhidmatan alam kepada manusia.