Dalam dosier geopark kebangsaan**, Tasik Raban ialah geotapak mewakili landskap tasik buatan yang matang. Selepas 3 kali melawatnya, saya lebih cenderong menamakan sebagai ‘biotapak’ mewakili ekosistem tasik air tawar yang mempamerkan kepelbagaian habitat fauna dan flora.
Tasik buatan ini telah berusia hampir 100 tahun, walaupun mempunyai ‘landskap lurah dan perbukitan tenggelam’, ia sebetulnya telah berevolusi menjadi ekosistem tasik air tawar yang mewujudkan kepelbagaian habitat yang istimewa dan berpandangan indah. Antara habitat yang terserlah ialah pandan, teratai, putat, rotan, rembia, rumput gedabung, udang galah, ikan loma, habitat buatan seperti getah dan dusun. Lebih menarik lagi, apabila persisir tasik masih dibuni oleh perkampungan masyarakat Melayu yang masih mengamalkan tradisinya.
———————
* Tasik Raban adalah sebahagian daripada Tasik buatan (reservoir) terbentuk daripada Empangan Cenderoh yang dibina pada tahun 1928.
** Lawatan ini adalah sebahagian daripada Seminar Jaringan Lenggong Geopark yang dihadiri oleh hampir 100 peserta yang mewakili 11 geopark kebangsaan di Malaysia. Wawasan geopark yang bermula dengan Langkawi sebagai geopark pada 2006, kini sudah berkembang kepada ‘keluarga besar geopark’ yang membanggakan.