Di SDGp batuan yang tertabur secara meluas, membentuk landskap perbukitan, bukit terasing dan bukit kars ialah Batuan Formasi Pedawan (BFP) dan Batu Kapur Bau (BKB). Sebahagian daripada kawasan telah dibangunkan sebagai kawasan pertempatan, industri, lombong dan kuari. Beberapa tapak BKB telah dipulihara dan di bangunkan untuk tapak rekreasi dan pelancongan.
Banyak mana maklumat mengenai dua jenis batuan ini telah diketahui awam? BFP dan BKB diendapkan pada masa yang sama dan sekitaran yang berbeza, iaitu zaman Jura-Kapur (sekitar 180 hingga 100 juta tahun). BFP terdiri daripada selang lapis batuan syal, lodak dan pasir dengan struktur yang kompleks (pemiringan, perlipatan, sesaran); sementara BKB umumnya berperlapisan tebal dan masif, berwarna cerah dan umumnya menbentuk perbukitan mogot terasing.
Kehadiran batuan ini amat menarik, unik dan bernilai sains tinggi, dan ditafsirkan oleh ahli geologi sebagai ‘zon prisma akresi’ iaitu kikisan kerak lautan di jalur subduksi ketika lautan paleo-pasifik terbuka. Wow apa ini? Bahasa greek ke? Mana rujukannya? Sebetulnya, saya hanya ingin menaklumkan kepada awam, wujud jujukan batuan yang mempunyai nilai sains berkepentingan antarabangsa, khususnya sebagai bukti ‘evolusi pembentukan kerak bumi di Asia Tenggara’ sebagai warisan sejagat yang perlu dipulihara, dan digunakan sebagai pendidikan awam. Inilah matlamat mewujudkan geopark di wilayah istimewa ini.