Global Geopark Network (GGN) Geofair, Chile
GGN Geofair sempena 11th International Conference on UNESCO Global Geoparks di Temuco, Chile merupakan acara kemuncak yang menyerlahkan semangat kekeluargaan dan jaringan kukuh dalam kalangan Global Geoparks Network (GGN) di seluruh dunia. Dijalankan pada petang hari perasmian, majlis ini menjadi platform interaksi sosial dan profesional yang menggambarkan betapa eratnya hubungan antara individu, geopark kebangsaan dan rangkaian serantau seperti Asia Pacific Geoparks Network (APGN), European Geoparks Network (EGN), serta rangkaian Afrika dan Amerika Latin. Suasana penuh mesra dan harmoni dapat dirasakan apabila para peserta dari pelbagai negara berjumpa, bertukar pandangan, bertukar cenderamata, serta berkongsi kenangan dan pengalaman, seolah-olah mereka merupakan satu keluarga besar dalam komuniti geopark global.
Selain memperkukuh jaringan antarabangsa, Geofair turut menonjolkan peranan penting komuniti tempatan dalam memajukan konsep geopark melalui pameran ‘geoproducts’ yang dihasilkan oleh masyarakat dari pelbagai wilayah dalam Kutralkura UNESCO Global Geopark (UGGp). Produk-produk ini mencerminkan keterkaitan antara warisan geologi, budaya, dan ekonomi setempat, sekali gus menzahirkan prinsip pembangunan mampan yang menjadi tunjang kepada inisiatif UNESCO Global Geoparks. Pameran daripada pelbagai geopark dunia dan rangkaian serantau juga memperlihatkan kekayaan identiti geologi serta inovasi dalam memperkenalkan warisan bumi kepada masyarakat global. Secara keseluruhannya, GGN Geofair Chile bukan sahaja menjadi medan pertemuan dan pertukaran budaya, tetapi juga lambang solidariti, keterangkuman, dan semangat kolaboratif yang mendasari jaringan geopark dunia. Luar biasa.













