Hari Terakhir di Kutralkura UGGp Chile
Hari terakhir 11th International Conference on UNESCO Global Geoparks (UGGp) di Kutralkura UGGp, Chile menjadi momen yang penuh makna dan kebanggaan bagi delegasi Malaysia. Buat pertama kalinya, Malaysia mencatat sejarah dengan penyertaan aktif lebih daripada 30 wakil rasmi yang mewakili empat geopark — Langkawi, Kinabalu, Delta Sarawak, dan Lenggong — dalam persidangan geopark global ini. Penyertaan besar-besaran ini mencerminkan komitmen tinggi negara terhadap pembangunan dan jaringan geopark di peringkat antarabangsa. Lebih membanggakan, dua calon geopark negara, Delta Sarawak Geopark dan Lenggong Geopark, telah diumumkan mendapat pengiktirafan rasmi daripada UNESCO Global Geoparks Council untuk diangkat menjadi geopark global menjelang tahun 2026. Dengan bakal mempunyai 4 global geopark, Malaysia kini boleh ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan negara utama lain. Kejayaan ini menandakan kematangan Malaysia dalam arena geopark dunia, meletakkannya sebaris dengan negara-negara utama yang giat memajukan warisan bumi dan pelancongan lestari.
Selain itu, kejayaan individu turut menyinari nama Malaysia apabila Dr. Azmil Munir, wakil daripada Langkawi UNESCO Global Geopark, telah dilantik sebagai ahli Executive Board (ExB) Global Geoparks Network (GGN) mewakili rantau Asia Pasifik – Tahniah Langkawi UGGp! Pelantikan ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap keupayaan profesional Malaysia, tetapi juga membuktikan peranan strategik negara dalam menyumbang kepada hala tuju pembangunan geopark global. Dengan empat geopark yang kini diiktiraf atau bakal diiktiraf, Malaysia berdiri teguh sebagai peneraju geopark di Asia Tenggara, selaras dengan matlamat UNESCO untuk memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa berasaskan sains, budaya dan kelestarian.
Kami akan bertolak ke Santiago pagi ini, dan seterusnya pulang ke tanah air.






