Geoheritage
Konsep geoheritage atau geological heritage site (geosite) muncul sebagai satu bentuk produk geologi baharu pada awal 1990-an. Konsep ini memperluaskan lagi skop sains geologi yang sebelumnya lebih tertumpu kepada sumber komoditi seperti mineral bijih, petroleum, arang batu, tanah liat, pasir dan agregat umumnya untuk menghasilkan bahan mentah tenaga, industri dan sumber binaan. Jika dahulu sumber geologi dinilai melalui “set nilai eksploitatif” yang menekankan penggalian dan penggunaan sebagai bahan mentah industri, perkembangan geoheritage memperkenalkan paradigma baharu berasaskan “set nilai warisan”. Dalam perspektif ini, geosite dilihat sebagai landskap geologi yang menyimpan rekod penting evolusi Bumi dan kehidupan (nilai saintifik), menawarkan keindahan visual (nilai estetik), menyediakan peluang rekreasi, serta mempamerkan nilai budaya manusia dengan alam. Pendekatan ini menjadikan geoheritage bukan berasaskan sumber ekonomi semata-mata, tetapi sumber pengetahuan, pendidikan, dan pemuliharaan landskap tabii.
Penerbitan terbaharu yang disunting oleh Emmanuel dan Jose menjadi rujukan penting dalam memperkukuh dan memperluas kefahaman tentang geoheritage sebagai produk geologi berinovasi, khususnya dalam konteks geopark, pemuliharaan warisan bumi dan pembangunan pelancongan lestari. Buku ini menghimpunkan kerangka teori, contoh terbaik geosite, serta pendekatan pengurusan dan interpretasi yang sesuai untuk memastikan geowarisan terus dipelihara dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab. Contoh geosite unggul di Malaysia seperti Gunung Kinabalu dan Banjaran Machinchang menunjukkan bagaimana geowarisan mampu menjadi aset ilmiah dan pelancongan yang bernilai tinggi apabila dikaji, ditafsir dan dipersembahkan secara profesional. Dengan perkembangan ini, geoheritage muncul sebagai salah satu inovasi terpenting dalam sains geologi moden—menghubungkan rekod sejarah bumi dengan pembangunan masyarakat masa kini dan masa depan.
—————
*foto G Kinabalu dan Banjaran Machinchang adalah contoh ‘geosite’ terbaik yang kita miliki.



