Kami ke Langkawi untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Langkawi UGGp 1/2024 yang dipengerusikan Dato’ Haslina Abd Hamid, CEO LADA dan ahlinya terdiri daripada semua pihak berkepentingan utama – Pegawai Daerah, Majlis Perbandaran, Jabatan Hutan, Jabatan Pendidikan, FLAG dan wakil komuniti. Ini adalah sebahagian daripada ‘governans geopark’ iaitu co-management.
Selaku Penasihat, Langkawi UGGp, saya diminta membentangkan kertas mengenai ‘Pelan Pengurusan, Langkawi UNESCO Global Geopark 2024-2028’. Syukur, pelan ini diterima, dilancarkan dan akan digunapakai sebagai asas tindakan untuk 5 tahun akan datang.
Selepas mesyuarat, kami dijemput untuk menghadiri majlis Iftar bersama ‘pihak berkepentingan’ Langkawi UGGp di Hotel Park Royal Langkawi (hotel baharu di Pantai Cenang). Hampir 100 sahabat Langkawi Geopark hadir, khususnya terdiri daripada Ambassadors dan Partners. Langkawi Geopark telah memperkasa komuniti Langkawi berasaskan ‘sifat kesepunyaan Langkawi (Semangat Kawi)’, dan pertemuan malam tadi seakan pertemuan satu keluarga besar – geoparkian!