Tasik Raban adalah sebahagian daripada takungan air (reservoir) Empangan Chenderoh dibina untuk menghasilkan elektrik menggunakan janakuasa hidro (hidropower) pada tahun 1928 – empangan hidro pertama di Malaysia. Oleh kerana menyerupai tasik, komuniti tempatan di Kg Raban menamakan, ‘tasik’ di sekitarnya sebagai Tasik Raban. Hari ini Tasik Raban telah menjadi lokasi pelancongan rekreasi tasik utama di daerah Ulu Perak.
Apabila menjadi Geopark Kebangsaan (GK), Tasik Raban juga dikenali sebagsi Geotapak Tasik Raban kerana nilai warisan landskap istimewa berpandangsn indah iaitu ‘tasik buatan’ (morfologi sungai tenggelam) di Lembah Lenggong.
Tasik Raban juga dikenali sebagai ‘Biosite Tasik Raban kerana keistimewaan kepelbagaian biologinya. Ekosistem Tasik Raban ialah ekosistem evolusi biologi daripada lembah tenggelam (takungan air) yang menjadi tasik buatan yang hampir matang. Tasik Raban telah memiliki pelbagai habitat – fauna dan flora tersendiri dan hampir berubah menjadi ‘ekosistem tasik tabii’, mungkin pertama di Malaysia.
Pasukan ‘Penyelidikan Translasi’ UPM berhasrat mengkaji ‘nilai warisan’ tasik ini dan membangun konsep ‘Biogeorintis’ sebagai produk geopelancongan yang bakal diserahkan kepada ‘komuniti pinggiran tasik’ meraih faedahnya.