Georintis Sg Kenong
Perjalanan dengan boat dari Jeti Sg. Jelai ke kawasan perkhemahan mengambil masa 15 min. Dan kami berjalan kaki sejauh hampir 3 km untuk ke Bukit Batu Kapur yang mengandungi 3 buah gua yang menarik itu. Georintis ini amat sesuai untuk ‘geopelancongan’ kerana ceritanya menggabungkan keistimewaan warisan geologi, biologi, sejarah dan kehidupan kampung serta konflik manusia – haiwan.
Tapak ini mewakili warisan geologi ‘Batu Kapur Kenong’ – sebahagian daripada batuan berusia Perm-Trias yang dikenali oleh ahli geologi sebagai Kumpulan Gua Musang. Landskap batu kapur di kawasan dataran banjir Sg Jelai membentuk perbukitan terpisah berketinggian kurang 200m dan pelantar batu kapur yang berada pada paras dataran. Kehadiran gua dengan kepelbagaian fitur perlarutan dan kepelbagaian fauna flora boleh menjadi tarikan utama geopelancongan.
Semasa berjalan pulang dari melawat gua, saya sempat menukil sebuah pantun berbunyi:
Bukan hutan sebarang hutan,
Hutan asalan kebun getah,
Bukan jalan sebarang jalan,
Jalan tersadung tahi gajah.
Wilayah yang sangat menarik untuk diterokai.