
@IBK
Posts by :

Fitur jalur liesegang terbentuk pada lapisan batu pasir tebal yang poros dan mengandungi mineral pirit (Fe2S). Aliran air bawah tanah yang membawa larutan besi akan bergerak dan meninggalkan karat besi pada jalur bentuk lingkaran. Kuanti karat yang berbeza menghasilkan warna jaluran pelbagai – kuning hingga merah. Proses yang berulang membentuk lingkaran jalur pelbagai warna, menghasilkan ‘lukisan alam’ yang bernilai estetik tinggi.
—————
*Geotapak Liesegang Kayan, Petrajaya. Ia mewakili fitur geologi luaran (luluhawa kimia) – proses yang berlaku dalam ratusan hingga ribuan tahun terakhir, sebelum batuan berubah menjadi ‘tanah baki’. Gegelang Liesegang ialah proses istimewa (bukan berlaku di semua keadaan), ia berlaku jika ada sumber besi (Fe), dalam batuan masif yang poros, and aliran air dalam tanah bersifat menjejari. Di kelaskan sebagai ‘Geotapak Rupabumi/ Landskap’, dan lazimnya bernilai saintifik hanya pada tahap ‘tempatan/ negeri’. Kepelbagaian jaluran warna menarik perhatian awam (nilai estetik), dan amat sesuai sebagai ‘tapak pendidikan awam dan rekreasi’.

Mengemaskini Geotapak SDGp
Apa itu geotapak? Kawasan atau tapak yang mengandungi ‘fitur geologi penting’ mewakili ‘Sejarah atau Evolusi Geologi’ sesebuah wilayah. Sebetulnya, penamaan geotapak hanya boleh digunakan selepas kajian telah dibuat mengenai nilai saintifik dan usaha pemuliharaan telah dimulakan.
Bagi tujuan membangun geopark, usaha awal yang diperlukan ialah ‘mengenalpasti sejumlah geotapak bernilai tinggi (berkepentingan kebangsaan dan antarabangsa) yang perlu dibangunkan daripada perspektif ‘pemeliharaan, pemulaharaan dan penggunaan lestari (tapak rekreasi dan geopelancongan).
Kami sebagai sebuah pasukan yang sedang menyediakan Pelan Pengurusan SDGp berkesempatan melawat beberapa ‘bakal geotapak’ di daerah Bau bagi mengumpul maklumat asas bagi mempuat keputusan bersama. Beberapa lokasi seperti Pengkalan Tebang, Kampung Gumbang, Gua Angin, Taiton dan Country Hill adalah tempat persinggahan hari pertama ini.
——————-
Kedai Laksa Sarawak dan Mee Kolok adalah destinasi ‘geotapak Geofoods’ yang pasti kami lawati.
Ulang Tahun Ke-3 GGCS
GGCS ringkasan kepada Geopark and Geotourism Creative Solutions Sdn Bhd ialah syarikat yang didaftarkan pada 17 Feb 2021, semalam kami menyambut ulang tahun ke3 secara sederhana – di hadiri oleh clients utama, YTL Cement dan PTNP, para Pakar dan staff sepenuh masa. Kami mengadakan 2 sesi rahmah mesra – bersama Pakar/ staff, dan bersama clients, sebelum majlis makan tengahari.
GGCS didaftarkan ketika saya berusia 69 tahun – bukan masa yang sesuai untuk memimpin syarikat. Begitupun, itulah masa saya bebas dari tanggungjawab (kontrak), selepas bersara 10 tahun lalu dari UKM, dan boleh melaksanakan sesuatu di luar UKM. Saya memilih untuk meneruskan ‘minat, usaha dan kemahiran’ yang telah dipupuk sejak 1990an – membangun idea dan ilmu mengenai geokepelbagaian, geowarisan, geotapak, geopark dan geopelancongan. Jika dahulu, ia berada dalam sekitaran akademik (ilmu dan penasihatan), kini bersama GGCS, ia boleh berkembang dalam sekitaran perniagaan (perundingan dan perkhidmatan).
Terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan GGCS, khususnya staff sepenuh masa, para pakar, rakan kongsi dan rakan yang mendapatkan perkhidmatan kami.
Syukur, sepanjang 3 tahun ini, GGCS mulai bertapak dan dikenali – harap ia boleh berterusan selama 300 tahun lagi.
————————-
*GGCS ialah, kemungkinan besar, syarikat pertama di dunia khusus bagi memajukan agenda ‘penggunaan sumber bumi secara tanpa musnah’ dalam konteks geopark dan geopelancongan. Saya meletakkan batu asas bagi ‘ahli geologi muda’ mempelopori peluang perniagan baharu (berasas ilmu) bagi meningkatkan keupayaan bersaing kerjaya geosains.
Workshop on GGN Contribution to SDGs
UNESCO Global Geoparks merupakan wilayah terbaik menerajui wawasan Pembangunan Lestari dan menunjukkan impaknya untuk membudayakan SDGs.
Tahniah kepada GGN Working Group on SDGs – anda telah menunjuk jalan bagaimana wilayah geopark menerajui amalan pembangunan lestari – agenda yang dilaung-laungkan oleh masyarakat global demi kelangsungan kehidupan sejagat.
MN-UGGp dan NGN
Hari ini berlaku dua peristiwa penting di Pejabat Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), KPM berkaitan ‘Perkembangan Geopark di Malaysia’. Ini adalah gagasan fasa kedua, peralihan daripada ‘fasa bimbingan kpd fasa berdikari’.
Pertama, mesyuarat pembentukan Malaysian Network of UNESCO Global Geopark (MN-UGGp) iaitu badan jaringan kebangsaan yang diminta oleh Global Geoparks Network (GGN) untuk diwujudkan sebagai ‘focal point’ baharu dari GGN dengan negara yang mempunyai lebih daripada satu UGGp. Ahlinya terdiri daripada Ahli Institusi GGN, Ahli Individu & SKUM.
Kedua, mesyuarat susulan Jaringan Geopark Kebangsaan (National Geoparks Network, NGN). Malaysia sudah mempunyai 13 geopark kebangsaan – Langkawi, Kinabalu, Jerai, Lembah Kinta, Delta Sarawak, Mersing*, Labuan, Lenggong, Kenyir, Gombak-Hulu Langat, Stong, Perlis, Lipis, dan Perlis. Kini mereka sudah boleh berjaring sesama sendiri, mengadakan Persidangan Tahunan dan berkongsi praktis terbaik.
Buat permulaan ini, kedua-dua jaringan ini dipengerusikan oleh Langkawi UGGp.
—————-
*Mersing telah diperakui sebagai Geopark Kebangsaan oleh JK Geopark Kebangsaan, tapi masih belum mendapat restu oleh Kerajaan Negeri.
Pemahsyuran Lipis Geopark
Syukur ke hadrat Ilahi, Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan selamat disempurnakan hari ini (18 Jan 2024) oleh DYMM Yang Dipertuan Agung di Sg Relau, Lipis. Ini adalah pengikhtirafan istimewa kepada program geopark kenangsaan di mana, buat pertama sekali DYMM Agung sendiri melakukannya.
Pada majlis ini YB Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan YAB Menteri Besar Pahang telah menyampaikan ucapan. Antara lain, YAB Menteri Besar menegaskan, geopark ialah wawasan pembangunan lestari wilayah, ia bukan sahaja memberikan perhatian kepada pemuliharan warisan, tetapi menggalakkan pembangunan ekonomi masyarakat dan meningkatkan potensi pelancongan di kawasan luar bandar. Wilayah geopark boleh dibangunkan seperti yang telah di rancang di dalam Pelan Struktur, tetapi hendaklah dilakukan secara lestari, mesra komuniti dan mesra alam sekitar.
Tahniah JK Pembangunan dan Promosi Lipis Geopark. Terima kasih Perbadanan Taman Negara Pahang (PTNP) yang berupaya menyelaras semua pihak berkepentingan. Dan GGCS yang menjadi perunding saintifik dan teknikal bagi menjayakan projek Lipis Geopark ini.
Geopelancongan UTM
Ini jenama baharu yang cuba diperkenalkan oleh TNC Pembangunan, Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam bagi meraikan Kampus UTM Sekudai. Saya dijemput untuk membuat lawatan lebih 30 lokasi istimewa, menyampaikan ucapan bertajuk ‘Pembangunan Geotapak untuk Pemuliharan dan Pelancongan’, dan petangnya mempengerusikan forum mengenai Perancangan dan Strategi Agenda Geopelancongan UTM.
Geopelancongan ialah usaha membawa tetamu melawat ke kampus untuk ‘meneroka dan mengenali kampus yang penuh dengan nilai sejarah, warisan, tradisi ilmu, budaya pendidikan dan kearifan watan’. Semua ini adalah hak negara dan kebangsaan yang perlu di kongsi bersama.
Doakan, agenda besar ini bakal mencapai kejayaan yang diidamkan.
————-
*Geo bererti Bumi yang terbina oleh dunia fizikal (litosfera); alam hidupan (biosfera); dan alam ketamadunan (budaya dan tradisi kemanusiaan).
Annual Business Plan 2023 GMT Group of Companies
GMT mempunyai 3 syarikat bergabung, pemegang sebahagian saham GGCS, dan 2 syarikat baharu ditubuhkan di Sarawak dan Sabah. Ini pertemuan pertama gabungan 6 syarikat yang pernah saya hadiri. Menarik dan amat berfaedah bagi ahli Lembaga Pengarah, pemegang saham dan warga syarikat menghadirinya.
Pertemuan ini mempunyai 3 matlamat asas iaitu:
- Mengeratkan hubungan antara staf dalam sesebuah syarikat dan antara syarikat;
- Mendengar dan berkongsi pengalaman mengenai prestasi kewangan dan pengarahan strategik; &
- Berkongsi dan mendengar pandangan semua warga syarikat.
Bagi saya selaku CEO-GGCS, kesempatan ini penting untuk mengukuhkan ‘hubungan rakan kongsi strategik’ GGCS dan GMT untuk terus menyumbang ilmu geosains dan geowarisan kepada negara dan bangsa.
Chemsain – GGCS collaboration to prepare SDGp Long Term Management Plan
Chemsain telah diberikan mandat oleh EPU-Sarawak untuk menyediakan Pelan Pengurusan Jangka Panjang Sarawak Delta Sarawak (SDGp).
Syukur GGCS telah dijemput untuk bekerjasama bagi menjayakan projek ini. Ini satu peluang dan cabaran bagi kami untuk membina ‘sinergi antara dua syarikat perunding’ dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Pengalaman ini penting utk melangkah ke arah jaringan antara syarikat.
Kami (GGCS) mengadakan mesyarat penyelarasan ke2 semalam – pencapaian amat memberangsangkan. Sekurang-kurang muncul konsep baharu dalam ‘pengurusan geopark’ yang kurang diberikan perhatian sebelum ini – SDGp Greater Area (peranan keseluruhan wilayah geopark untuk merangsang agenda teras geopark)
20 Tahun Global Geopark Network
Kita menyambut Tahun 2024, bagi ahli Global Geoparks Network (GGN), mereka menyambut hari kelahirannya ke-20. Pada tahun 2004, dengan sokongan UNESCO, kami berjaya membentuk GGN yang diangotai oleh 25 ahli (17 daripada Eropah dan 8 daripada China). Saya bersyukur dilantik sebagai ahli Biro GGN Pengasas untuk mengurus dan mengembangkan GGN. Biro mengandungi 10 orang Pakar Geopark mewakili warga global. Hari ini GGN mempunyai 195 ahli institusi (Global Geopark) dan sekitar 35 ahli individu. Pada tahun 2015, UNESCO mengiktiraf Global Geopark sebagai program rasmi dan dinamakan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp).
Ramai yang masih bertanya, apa itu Geopark? Geopark ialah ‘agenda pembangunan lestari wilayah’ (regional sustainable development agenda) yang mempunyai cirian berikut:
- Wilayah yang mempunyai tapak atau landskap geologi (geowarisan) berkepentingan antarabangsa;
- Mempunyai sistem pengurusan berperundangan, seeloknya mengamalkan pendekatan ‘pengurusan bersama’ (co-managment);
- Diurus secara holistik dengan mengambil perhatian utama aspek ‘pemiliharan warisan, pendidikan awam dan pembangunan lestari’;
- Memberi perhatian kepada kesejahteraan dan ekonomi komuniti setempat, dan membantu memperkasa pemuliharan warisan bersepadu (saling hubungan warisan budaya, biologi dan geologi).
Inilah agenda sebenar memperkasa pembangunan lestari (sustainable development in action).