Delta Sarawak Geopark mengandungi banyak geotapak yang mewakili tapak warisan geologi bernilai tinggi. Satu daripada kawasan utama ialah daerah Bau yang mempamerkan kepelbagaian landskap kars tropika.
Di pekan Paku, komuniti setempat menemui landskap ‘pinakel dataran rendah’ di kawasan seluas lebih 4 ekar. Tempat ini telah mereka bangunkan sebagai kawasan rekreasi dan dibuka untuk orang awam.
Landskap di sini mempamerkan pelbagai bentuk unik hasil interaksi 3 fenomena geologi: a) set rekahan yang menjadi zon lemah dan mudah mengalami proses perlarutan/ hakisan; b) proses perlarutan oleh air hujan membentuk fitur pinakel; dan c) gerakan paras air tanah kuno yang menyebabkan perlarutan mendatar membentuk takik (notch). Gabungan tiga proses utama ini menghasilkan keragaman rupabumi pinakel dataran rendah kars yang luar biasa.
Dengan melakukan kajian lanjutan, tapak ini mungkin perlu dipulihara sebagai geotapak dan sesuai dibangunkan sebagai rintis geopelancongan.